[Ribut di Pulau Pinang] Operasi dihenti selepas jumpa mayat

June 17, 2013

Assalamualaikum ^^

Operasi dihenti selepas jumpa mayat
Lubang sedalam tujuh meter digali di kawasan dipercayai mangsa tertimbus.

GEORGETOWN - Berdasarkan penemuan serpihan kereta jenis Honda City milik peniaga nasi ekonomi, Lim Chin Aik, 44, operasi mencari dan menyelamat diteruskan sehingga kini.

Orang ramai juga mula membanjiri kawasan sekitar lokasi kejadian  dari petang kelmarin sehingga kini bagi melihat kerja-kerja mengorek di kawasan runtuhan penebat kilat di Jalan Macalister, bagi mencari Chin Aik.

Kerja menggali dijalankan bomba, pekerja kontraktor dan polis itu bermula jam 8 pagi dan akan diteruskan sehingga mayat mangsa dijumpai.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Azmi Tamat berkata, pasukan mencari dan menyelamat menjalankan kerja sejak petang Sabtu dan berhenti pada jam 6 pagi Ahad sebelum disambung semula kemudiannya.

Beliau berkata, 20 pegawai dan anggota bomba terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat itu.

Azmi berkata, setakat ini pasukan mencari dan menyelamat menjumpai beberapa serpihan kereta seperti tayar dan papan pemuka.

Isteri mangsa, Lee Chai Song, 48, bersama dua anak dan ahli keluarga lain berada di lokasi kejadian sejak petang semalam dengan harapan mangsa yang tertimbus di dalam kawah itu bukan suaminya.

Chin Aik kemungkinan mangsa kedua terbunuh selepas rod penebat kilat terjatuh dari Menara Umno Pulau Pinang akibat ribut Khamis lalu.

Sementara itu, tinjauan di lokasi kejadian mendapati pasukan mencari dan menyelamat telah mengorek lubang sedalam tujuh meter di kawasan dipercayai mangsa tertimbus.

Bagaimanapun, kerja-kerja mencari mangsa menjadi sukar berikutan struktur tanah mendap selain kawasan dilimpahi air kerana paip bawah tanah pecah akibat runtuhan berkenaan.

Turut sama berada di tempat kejadian ialah anggota keluarga mangsa  bagi mengikuti perkembangan operasi mencari dan menyelamat di kawasan runtuhan itu.

Chai Song, 48, dan tiga anak mereka iaitu dua lelaki, Lim Chia Yiang, 20, Lim Chia Oon, 18, serta anak perempuan mereka Lim Hui Jiun, 13, berada di situ sejak jam 7 pagi.

Kedua-dua ibu bapa mangsa, Lim Tian Chor, 73, dan Ang Kim Looi, 70, dan adik perempuan, Lim Lye Suan, 40, juga berada di tempat kejadian.

Dalam pada itu adik perempuan mangsa, Lye Suan berkata, mereka sekeluarga sudah berusaha mencari abangnya itu di semua lokasi yang beliau selalu pergi termasuk menerusi laman sosial Facebook selepas menyedari kehilangan Lim.

“Saya menyedari abang hilang selepas anak perempuannya (Hui Jiun) balik dari sekolah dengan gurunya dan kami terus mencari abang sebelum membuat laporan polis,” katanya.

Malam kelmarin, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi mengesahkan nombor casis kereta yang ditemui di kawasan runtuhan penebat kilat di Jalan Macalister di sini sepadan dengan kereta milik Chin Aik.

Beliau berkata, penemuan itu sekali gus merungkai laporan kehilangan mangsa sejak hari kejadian iaitu pada Khamis lalu.






You Might Also Like

0 comments

Sila komen dengan ikhlas. Terima kasih

FOLLOWERS